Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang hidup
dalam suasana yang penuh harmoni. Upacara perkahwinan selalu mendapat perhatian
penuh dari semua golongan di Malaysia. Di sebalik keramaian yang penuh warna
warni, upacara ini melambangkan perpaduan kaum yang mempunyai latarbelakang
budaya dan adat resam yang berbeza.
Adat Perkahwinan Tradisional Masyarakat Melayu
Adat perkahwinan tradisional masyarakat Melayu boleh dibahagikan kepada beberapa proses iaitu merisik atau meninjau; upacara peminangan; upacara menghantar tanda; hantaran belanja;
Merisik
Permulaan proses perkahwinan ialah merisik atau meninjau. Biasanya dilaksanakan oleh keluarga pihak lelaki, khususnya ibubapa. Setelah teruna dan keluarganya berkenan dengan gadis yang dipilih , usaha merisik dijalankan untuk mengetahui samada gadis itu sudah berpunya atau tidak. Hasil daripada merisik ini akan dibuat rundingan dengan keluarga si teruna. Apabila diketahui sigadis belum berpunya upacara peminangan diaturkan.
Acara Peminangan
Meminang sigadis hanya
dilakukan bila keluarga sigadis menyatakan persetujuannya. Tugas meminang
biasanya dilakukan oleh wakil kedua-dua belah pihak, biasanya ketua-ketua adat
dan syarak. Semasa meminang akan ditetapkan tarikh menghantar tanda.
Perkara-perkara yang dibincangkan semasa upacara peminangan ialah hantaran
belanja, persalinan dan tempoh bertunang. Disesetengah-sesetengah tempat berita
pertunangan itu diberitahu kepada seisi kampong oleh Ketua Kampong di masjid
ketika mengadakan sembahyang Jumaat.
Menghantar Tanda
Semasa upacara menghantar tanda, kebiasaannya sebentuk cincin akan dihantar oleh pihak teruna untuk disarungkan ke jari tunangannya. Menyampai dan menerima cincin itu dilakukan dalam majlis di rumah sigadis. Cincin ini disebut sebagai ‘cincin tanda’. Ia biasanya diiringi juga dengan sebahagian wang hantaran belanja. Tarikh perkahwinan juga dibincangkan bersama.
Pada
tarikh yang dijanjikan upacara menghantar belanja dijalankan. Kedua-dua belah
pihak diketuai oleh Ketua Kampong atau Ketua Syarak. Wang hantaran itu biasanya
diiringi dengan persalinan untuk sigadis. Ia digubah dalam berbagai bentuk atau
dibungkus dalam kain sahaja mengikut adat daerah masing-masing. Iringan yang
lain termasuk bunga rampai; sirih junjung atau tepak sireh sahaja; pahar telor
merah dan nasi semangat; alat solek; buah-buah atau lain-lain.
Menjemput
Waris bakal pengantin
( ayah atau ibu, atau orang yang wajib dan diwakilkan) akan berkunjung ke rumah
orang tua-tua di kampong itu untuk membritahu tentang hari perkahwinan itu.
Mereka akan membawa tepak sireh dan terus menjemput dan meminta sanak saudara
serta sahabat handai datang ke rumahnya bagi mengelolakan majlis itu. Majlis
kenduri kahwin dimulakan di rumah pengantin perempuan.
Upacara Nikah
Upacara akad nikah
dijalankan sebelum upacara berinai besar dan bersanding. Imam mewakili wali
perempuan menjadi jurunikah. Dalam upacara ini juga disahkan hantaran dan
lain-lain. Mas kahwin disebut samada hutang atau tunai. Mas kahwin akan
diserahkan kepada pangantin perempuan dan menjadi haknya. Dari saat ini sahlah
mereka menjadi suami isteri.
Berinai Besar
Kedua pengantin
memakai pakaian pengantin. Pengantin lelaki datang ke rumah pengantin perempuan
dengan iringan arakan rebana. Upacara berinai didahului oleh pengantin lelaki
yang duduk di pelamin. Ahli keluarga akan bergilir-gilir menjalankan upacara
itu. Pengantin perempuan akan mengambil tempat selepas pengantin lelaki.
Majlis persandingan
Dihari persandingan,
jamuan diadakan secara besar-besaran di rumah pengantin perempuan. Pengantin
lelaki serta rombongannya akan diarak dan diiringi dengan selawat dan pukulan
rebana dari rumahnya atau tempat persinggahannya ke rumah pengantin perempuan.
Hantaran akan dibawa bersama sekiranya ia belum dihantar terlebih dahulu.
Jemput menantu
Majlis jemput menantu
atau ‘menyambut menantu’ diadakan di rumah pengantin lelaki. Pengantin
perempuan dijemput datang ke rumah pengantin lelaki biasanya dibuat pada hari
ketiga, kelima atau seminggu selepas diadakan majlis persandingan.
No comments:
Post a Comment