Pengenalan
Perkahwinan
dalam masyarakat Cina merupakan satu titik tolak yang membawa perubahan besar
dalam kehidupan mereka. Perkahwinan penting untuk mengekalkan institusi
keluarga dan melaluinya keturunan nenek moyang dapat diteruskan daripada satu
generasi kepada generasi yang lain. Dalam masyarakat Cina, sesuatu perkahwinan
itu dirancang dan diatur sebaik-baiknya. Mengikut kepercayaan mereka juga,
pasangan yang berkahwin tanpa mengikut aturan adat dianggap tidak sah. Terdapat
dua bentuk perkahwinan yang diamalkan oleh mereka iaitu eksplisit iaitu
perkahwinan yang diatur samada oleh ibu bapa atau orang tengah (moi-ngin) dan
implisit iaitu perkahwinan di mana kedua-dua lelaki dan perempuan diberi
kebebasan untuk memilih pasangan masing-masing. Pada asasnya adat resam
perkahwiwan masyarakat Cina merangkumi peringkat merisik, meminang, bertunang
dan majlis perkahwinan.
Merisik
Adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang
gadis yang dihajati. Masyarakat Cina terlalu mengambil berat tentang nama ,
keturunan, peribadi, watak dan tingkah laku si gadis. Ciri-ciri ini penting
untuk mewujudkan perkahwinan yang berkekalan. Cara merisik terpulang kepada ibu
bapa kerana pada lazimnya ibu bapa pihak lelaki akan menanyakan kenalan dan
rakan taulan yang kenal dengan keluarga si gadis. Sebahagian masyarakat Cina
lebih gemar mengadakan perbincangan tersebut di restoran-restoran dengan
disertai saudara mara lain. Tradisi makan bersama ini amat penting dalam
masyarakat Cina kerana ia dapat mengeratkan perhubungan di antara kedua belah
keluarga. Perbincangan ketika merisik adalah berkenaan perkara-perkara umum
terutama tentang latar belakang keluarga dan asal keturunan.
Meminang
Setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan latar belakang
keluarga masing-masing adat meminang akan dijalankan. Seorang wakil dipilih
untuk berkunjung ke rumah si gadis bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan
perkahwinan. Ibu pengantin pengantin perempuan pula akan berbincang dengan
wakil tersebut berkenaan jumlah mas kahwin, peruntukan meja dalam jamuan makan
dan memilih hari yang paling sesuai. Pihak lelaki tidak akan tawar menawar
kerana bimbang akan menjatuhkan maruah. Segala ketetapan yang telah
dipersetujui, diberitahu kepada kedua ibu bapa pihak lelaki. Ibu bapa pihak
lelaki akan berbincang dengan anaknya untuk menyediakan segala permintaan
daripada pihak perempuan.. Setelah kedua-dua pihak sudah saling mengenal dan
bersetuju untuk berkahwin, barulah adat bertunang dijalankan.
Bertunang
Hari pertunangan dilakukan berdasarkan kalendar Cina dan
ia hendaklah bersesuaian dengan bintang kelahiran kedua pasangan tersebut.
Khidmat tukang tilik digunakan untuk penetapan tarikh tersebut berpandukan
kepada sebuah buku iaitu Toong-Su. Ini penting kerana jika dilakukan pada waktu
yang tidak sesuai dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan akan
menghalami kegagalan. Pada masa inilah bakal pengantin lelaki berkunjung ke
rumah perempuan untuk menunaikan permintaan. Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut
masa yang ditetapkan . cincin disarung di jari manis kiri oleh kedua-dua bakal
pengantin sehingga hari perkahwinan. Bagi membukitkan persetujuan, gadis
berkenaan akan menyerahkan sekeping kertas merah atau nyen-sang yang tertulis
nama gadis, umur dan tarikh lahirnya yang didapati daripada tukang tilik.
Setelah nyen-sang diterima, pihak lelaki akan mengadakan persediaan. Nyen-sang
kepunyaan si gadis pula akan diberi kepada tukang tilik bersama-sama maklumat
yang sama tentang dirinya. Tukang tilik akan menghitung hari dan masa yang
sesuai berdasarkan kedua-dua nyen-sang dan dicatat pada sehelai kertas merah
yang dinamakan nyik-kor. Ketika menentukan hari yang sesuai, tukang tilik
membuat ramalan berdasarkan tahun kelahiran kedua pasangan. Setelah mendapat
tarikh dan masa yang sesuai, tukang tilik akan menyediakan dua keping nyik-kor
dan diberikan kepada lelaki dan perempuan yang hendak berkahwin. Nyik-kor
tersebut mengandungi peraturan-peraturan dan adat-adat yang perlu diikuti oleh
kedua bakal pengantin merangkumi adat-adat tertentu.
Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara bertukar cincin
perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang diadakan
di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan. Di antara hantarannya ialah sebentuk cincin
emas, sepersalinan pakaian, kain dan wang tunai. Sekiranya pihak lelaki tidak
menyediakan barang hantaran yang cukup kepada pengantin perempuan, sejumlah
besar wang tunai akan diberi. Beserta dengan penghantaran mas kahwin, keluarga
pengantin perempuan diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan akan dibuat
dengan pengantin perempuan. Dalam masyarkat Cina, semakin besar mas kahwin yang
diberikan, semakin tinggi martabat dan kedudukan pihak lelaki.
Majlis
Perkahwinan
Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun
bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Sebelum tiba hari perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli
keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan
ataupun selama seratus hari. Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu
orang lain sedang berkabung kesedihan. Pada hari perkahwinan tersebut pengantin
perempuan dan lelaki dihias indah. Masyarakat Cina pada masa dahulu memakai pakaian
pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Kemudian
setiap pakaian dihias dengan pelbagai aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya
bewarna putih, merah atau kuning. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan
kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan
kesedihan.
Seterusnya pengantin lelaki akan bertandang ke rumah
pengantin perempuan dan pada masa itulah pengantin lelaki dan perempuan akan
duduk bersama buat kali pertama. Mereka akan diiringi oleh pengiring
masing-masing. Seterusnya pasangan pengantin akan didudukkan di atas pelamin
yang telah disediakan di ruang tamu. Selepas acara bersanding, pasangan
pengantin akan dibawa bertemu ahli keluarga masing-masing. Pengantin lelaki
akan memperkenalkan keluarga dan sauadara maranya kepada isterinya dan ini
begitulah sebaliknya di samping itu juga kedua pengantin akan meminta restu
daripada keluarga mertua masing-masing. Dalam masyarakat Cina juga, upacara
meminum teh sangat penting dan masih diamalkan. Ia merupakan tradisi masyarakat
Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri. Adat ini melambangkan penerimaan
pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga si suami di samping
bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan
pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki.
Walau bagaimanapun adat bersanding dan upacara minum teh ini
sudah kurang diamalkan oleh masyarakat Cina hari ini.
Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah
malam iaitu jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara
besar-besaran samada di rumah, dewan, atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang
akan membawa ang-pau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang
sama kedua pengantin akan cuba mengenali dan beramah mesra dengan ahli keluarga
kedua belah pihak. Akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin
akan menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di
hadapan beberapa orang saksi.
Pada hari ini masyarakat Cina kurang mengamalkan adat
perkahwinan secara tradisi sebaliknya menjalankan perkahwinan secara sivil
iaitu dengan mendaftarkan perkahwinan di gereja, terutamanya di kalangan mereka
yang beragama Kristian.